
30 Mac – Delegasi EAROPH International dan EAROPH Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka, bersempena sesi pembentangan berkaitan penganjuran 30th EAROPH World Congress 2026 .
Dalam sesi tersebut, YAB Ketua Menteri telah diberikan taklimat terperinci yang disampaikan oleh TPr. Hajah Mazrina Abdul Khalid, Secretary General EAROPH, mengenai perancangan, perjalanan serta susun atur program kongres bertaraf antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada April 2026 di Melaka.
Delegasi EAROPH yang hadir terdiri daripada TPr. Khairiah Talha – Honorary President, EAROPH, TPr Datin Noraida binti Saludin – Chairman, EAROPH Malaysia dan En. Azreen Karim – Konvenor Kongres
Turut hadir YB Datuk Wira Azhar bin Hj. Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Datuk Haji Rais bin Datuk Wira Yasin, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, YBhg. Datuk Hj. Shadan bin Hj. Othman, Datuk Bandar MBMB, YBrs. Tuan Muhammad Firdaus bin Shariff, Setiausaha MBMB serta pegawai-pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
Kunjungan ini menjadi platform penting bagi pihak EAROPH untuk berkongsi hala tuju penganjuran kongres yang bakal menghimpunkan pakar perancangan bandar, pembuat dasar, akademia serta pengamal industri dari seluruh rantau Asia Pasifik, selaras dengan tema “City Assets for Community Gains”.
Penganjuran kongres ini dijangka mengukuhkan lagi peranan Melaka sebagai bandar bersejarah yang progresif serta memperkasa agenda pembangunan bandar mampan dan berdaya tahan di peringkat antarabangsa.



