.
Seminar Memperkasakan Wanita Sempena Hari Wanita 2023
BANDARAYA MELAKA 25 Mei - Seminar Memperkasakan Wanita Bagi Menangani Stress Di Rumah dan Pejabat yang telah diadakan di Hotel Swiss Garden, Melaka. Program ini dirangka khas untuk semua anggota wanita MBMB yang dihadiri seramai 369 orang.

Ceramah telah disampaikan oleh Puan Zurina binti Johar, Motivator jemputan dan En Hafiz bin Mustapha selaku Perunding Imej yang telah mula mencipta nama di pelbagai saluran media sosial. Selain itu, satu slot penerangan berkaitan Saringan Awal Kanser oleh Lembaga Pendidikan dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah disampaikan oleh Puan Nor Johana binti Abdullah, Ketua Jururawat Lembaga Pendidikan dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Turut hadir YBhg. Datin Hjh. Suriyati binti Yaapar, isteri kepada YBhg. Datuk Bandar MBMB, YBhg. Datuk Dahlia binti Abdul Ghani, isteri kepada YBrs. Tuan Setiausaha MBMB, Ahli-Ahli Majlis Wanita, Ketua-Ketua Jabatan dan semua anggota wanita MBMB ‘Wanita itu hebat jika masih terukir senyuman di pagi hari, seakan-akan tidak menangis di malam hari. Wanita itu penuh inspirasi, sentiasa bersyukur dalam kekuatan dan kelemahan dan terus bangkit mendepani apa jua cabaran'.