Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Dihoskan Oleh MBMB

AYER KEROH 10 Mac - Sekitar Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dihoskan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah yang disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Hj. Sulaiman bin Md Ali; Ketua Menteri Melaka diiringi YB Datuk Wira Zaidi bin Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Datuk Hj. Zaidi bin Attan; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka, YB Datuk Abdul Razak bin Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Melaka, YB Datuk Abd Aziz bin Engan; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, YB Datuk Salhah binti Salleh Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Barisan Exco Kerajaan Negeri, Yang Berhormat ADUN-ADUN, Sahibus Fadilah Tuan Hj. Hazarudin bin Hj. Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, YBhg. Datuk Hj. Shadan bin Hj. Othman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
 
 
 
Setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja MBMB yang telah memperolehi pencapaian di peringkat antarabangsa sekaligus mengharumkan nama Kerajaan Negeri Melaka. Antara pencapaian MBMB adalah Anugerah Green World Awards Kategori Smart Mobility dan Anugerah Green World Awards Kategori Melaka Low Carbon City. Semoga anggota MBMB sentiasa berinspirasi untuk mengadakan transformasi dalam perkhidmatan bandaraya sekaligus menjadikan MBMB sebagai PBT yang terkenal dengan projek inovasi yang mana telah melakukan beberapa langkah proaktif dengan memaksimumkan potensi digitalisasi melalui pelaksanaan aplikasi real time antaranya i-trafik MBMB, Sistem Pintar Kawalan Trafik MBMB, Sistem Pintar Pejalan Kaki MBMB, Sistem Pengoperasian Pam Advanced MBMB dan banyak lagi melalui inisiatif pemerkasaan teknologi terkini menelusuri IR 4.0 (Industry Revolution 4.0) dan ‘Internet of Things’ (IoT).
 
 
 
YAB Ketua Menteri Melaka dalam ucapannya telah menekankan pemerkasaan peranan PBT itu sendiri agar penyampaian perkhidmatan yang diberikan adalah di tahap optimum memandangkan rakyat Negeri Melaka merupakan pemegang taruh yang terbesar. Pihak PBT perlu melaksanakan peranan yang lebih besar dalam menyediakan kualiti perkhidmatan perbandaran yang terbaik dalam lokaliti masing-masing. PBT sewajarnya menjadi sebuah organisasi yang berdaya saing dan mampu mentadbir kawasan pentadbirannya dengan baik.
 
Pihak PBT merupakan barisan paling hadapan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang mana dapat dinikmati secara terus. Antara perkhidmatan yang paling dirasai ialah, kebersihan, pengurusan sampah, pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan parit dan longkang perlu sentiasa bersih dan tidak tersumbat terutama ketika musim hujan agar tidak berlaku banjir kilat. Penyelenggaraan jalan raya perlu dipertingkatkan agar jangan ada jalan raya yang berlubang dan merbahaya kepada pengguna. Penyelenggaraan landskap dan lampu-lampu jalan, menyediakan dan menaik taraf kemudahan-kemudahan awam dan taman rekreasi.