MENU

Namun demikian, kemahsyuran Melaka telah bermula seiring dengan keadaan di mana negara-negara Eropah sedang membuka langkah untuk meluaskan lagi kuasa mereka ke benua Timur dan Melaka merupakan antara bandar pelabuhan yang menarik perhatian mereka. Pada tahun 1509, Diego Lopez De Squera dari Angkatan di Raja Portuga merupakan angkatan Portugis pertama telah tiba di Melaka. Selepas serangan bertubi-tubi pada tahun 1511, Melaka akhirnya telah berjaya ditawan oleh angkatan Portugis yang diketuai oleh Alfonso d’ Albuquerque.

Sultan Mahmud Syah, pemerintah Melaka ketika itu, telah berundur ke Johor dan setelah bertapak di situ, orang Melayu cuba menyerang kembali orang Portugis tetapi tidak berjaya. Salah satu sebab yang menjadi kekuatan pihak Portugis adalah pembinaan kota A’ Famosa sebagai benteng pertahanan mereka.

Kota A’ Famosa telah memantapkan lagi kuasa Portugis di Melaka selama 130 tahun. Sehinggalah pada tahun 1641, Melaka akhirnya jatuh ke tangan Belanda melalui serangan dan pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. Bandar Melaka hampir musnah dan dalam tempoh satu setangah abad, Belanda telah membinanya semula dan menjadikannya sebagai pangkalan tentera kerana lokasinya yang strategik bagi mengawal Selat Melaka.

Pada tahun 1795, semasa Peperangan Napoleon, Melaka telah diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris buat sementara bagi mengelakkan ianya ditawan oleh negara Perancis. Melaka telah dipulangkan semula kepada Belanda pada tahun 1818, melalui Perjanjian Venice. Melalui Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London 1824 yang mengasingkan kawasan jajahan British dan Belanda, British kembali menguasai Melaka serta kawasan utara selat dan Singapura manakala Belanda di bahagian selatan selat (Kepulauan Indonesia).

Dari tahun 1826, Melaka ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berpengkalan di India . Pada tahun 1827, Negeri-negeri Selat (iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura) telah menjadi tanah jajahan British dan diletakkan di bawah pemerintahan Pusat di London. British telah meneruskan kuasanya di negeri-negeri Melayu sehinggalah berlakunya Perang Dunia ke-2.

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, British kembali menyambung penguasaannya di Tanah Melayu sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu diisyhtiharkan merdeka oleh Y.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama pada 31 Ogos 1957.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 13 Disember 2017 - 9:36am