MENU

BANDA HILIR 22 Mac – Sambutan ulang tahun Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ke-16 kali ini dijangka mampu menarik lebih 10,000 pengunjung sama ada dalam dan luar Melaka.

Exco Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Melaka, Datuk Tey Kok Kiew berkata, ia berikutan pelbagai program menarik telah disusun dan dirangka sempena sambutan tersebut.

Menurutnya, acara tersebut meliputi bidang seni, budaya, sukan, rekreasi dan kemasyarakatan.

“Setiap acara mempunyai objektif tersendiri. Bukan sahaja mahu meraikan rakyat dengan program yang menyeronokkan, sebaliknya kita tidak lupa kepada masyarakat memerlukan dan suara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra MBMB Bersama Media di Skydeck Element Mall, di sini, Rabu lalu. Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin.

Jelas Kok Kiew, sambutan tersebut juga diharapkan dapat menyatukan rakyat di negeri ini tanpa mengira warna kulit dan peringkat umur.

“Aktiviti telah bermula sejak 1 Mac lalu, ia termasuklah Pertandingan V-Log Bandaraya Melaka, Melaka City Fun Ride, Run & Walk (23 Mac), Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil (11 April), Melaka Musical Extravaganza 2019 (14 April), Karnival Sejahterakan Bandarayaku DUN Bandar Hilir (27 April) dan Pertandingan Mural Fiesta 2019 (4 Mei).

“Kita jangka acara kemuncak iaitu Melaka Musical Extravaganza akan mendapat penyertaan teramai,” katanya acara tersebut akan diadakan di Dataran Bandaraya MBMB bermula jam 8 malam.

Sementara itu, mengulas mengenai program MBMB bersama media, Kok Kiew berkata, pihaknya berterima kasih kerana media sentiasa menyokong pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Kita harap kerjasama baik ini berterusan dan kedua- dua pihak mendapat manfaat menerusi aktiviti bersama,” katanya. – Sumber Melaka Kini

 

Kemaskini Terakhir: Selasa, 22 Oktober 2019 - 4:07pm