MENU

 

BANDA HILIR 4 Okt – Kajian draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (RTMBMB) 2035 telah dilaksanakan sejak April 2018 hingga April lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin berkata, ia selari dengan visi kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai negeri Pintar, Hijau dan Bersih.

Menurutnya, terdapat enam sasaran utama bagi pembangunan rancangan tersebut.

“Ia seperti merancang dan mempertingkat fungsi bandaraya Melaka sebagai bandaraya negeri, penstrukturan semula guna tanah dalam kawasan MBMB, mewujudkan destinasi pelancongan berprestij.

“Selain pembangunan terkini yang lebih hijau dan mampan, pengurusan sumberjaya lestari serta tadbir urus yang cekap, sistematik dan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam RTMBMB 2035 (Penggantian) di Hotel Hatten, baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew.

Jelas Mansor, pelancaran itu mempromosi publisiti draf RTMBMB 2035 bagi penglibatan masyarakat.

“Ia sekali gus menghasilkan pembangunan persekitaran yang komprehensif, maju dan berdaya saing.

“Ini peluang orang awam untuk menyemak serta memberi maklum balas bagi kajian draf RTMBMB sebelum ia diwartakan,” katanya. - Sumber Melaka Kini

Kemaskini Terakhir: Ahad, 20 Oktober 2019 - 1:02am