MENU

KOTA LAKSAMANA 7 Feb – Hasrat seorang penarik beca untuk memiliki beca baharu demi kelangsungan hidup menanggung tujuh ahli keluarga menjadi kenyataan selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana.

Mohd Shahril Md Salleh yang menetap di Rumah Pangsa Al Iksan, Taman Kenanga bagaimanapun tidak dapat hadir ketika penyerahan itu kerana bekerja dan mewakilkan isterinya untuk menerima sumbangan itu.

Penyerahan itu diserahkan sendiri ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Halim Bachik dan Datuk Bandar, Datuk Mansor Sudin.

Chee Leong berkata, pihak Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kota Melaka sering membuat pemantauan bagi mengenal pasti rakyat yang kurang bernasib baik di kawasan itu.

Katanya, menerusi kerjasama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), pihaknya menyumbangkan sebuah beca baharu kepada Mohd Shahril.

“Dengan pendapatan yang agak terhad (setiap bulan), pihak Japerun Kota Laksamana bersama MBMB memberi sumbangan beca baharu supaya ia dapat menyara hidup mereka sekeluarga.

“Pihak kita akan memantau keadaan ekonomi keluarga ini kerana sebagai kerajaan yang mesra rakyat, kita harus bertindak dan turun padang ke semua kawasan untuk santuni rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MelakaKini selepas menyerahkan beca baharu kepada keluarga Mohd Shahril. - Sumber Melaka Kini

Kemaskini Terakhir: Selasa, 18 Februari 2020 - 10:20am