MENU

 

 

BANDARAYA MELAKA 29 Nov. – Sebanyak 24 papan tanda di dalam kawasan teras konservasi Tapak Warisan Dunia Bandaraya Melaka Bersejarah telah dijenamakan semula menggunakan lima bahasa berbeza di dalam kawasan terbabit.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata, pemasangan papan tanda membabitkan lima jenis tulisan dari pelbagai bahasa iaitu Rumi, Jawi, Inggeris, Tamil dan Mandarin mampu memberi tarikan baharu kepada kawasan bersejarah terbabit.

Jelasnya, pemasangan itu telah diberi nafas baharu dengan penambahan tulisan bahasa Cina dan India sekali gus bersesuaian dengan kepelbagaian etnik yang menjadi simbol kepada negeri ini.

“Perkara ini mampu memberi kemudahan dan tarikan kepada pelancong yang datang ke kawasan utama ini malah ia mampu memberi nafas baharu kepada tunjang perpaduan yang merupakan tunggak utama di Melaka.

“Pada awalnya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah memasang sebuah papan tanda seperti itu di Jalan Tukang Emas pada tahun lalu dan telah menerima maklum balas positif mengenai perkara itu.

“Hasil inisiatif ini, MBMB telah menaikkan kesemua papan tanda yang diganti dengan pelbagai tulisan dan kerja pemasangan ini dilakukan secara berperingkat mulai September dan siap dipasang pada 14 November lalu.

“Kesemua 24 papan tanda ini adalah inisiatif MBMB sendiri bagi menaik taraf daya terikan baharu di negeri ini dan telah menelan peruntukan sebanyak RM6,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Papan Tanda Pelbagai Bahasa di Jalan Jonker, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin.

Papan tanda yang dipasang tersebut telah melibatkan beberapa lorong di sekitar kawasan terbabit antaranya di Jalan Tokong, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat, Jalan Kampung Kuli serta pelbagai lagi. -  Sumber Melaka Kini.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 6 Disember 2019 - 12:47am