MENU

Melaka contoh bandar raya hijau

MELAKA 4 Mei - Datuk Bandar Kwangju, Un Tae Kang mahu mencontohi usaha yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam mengindahkan bandar raya ini dengan pokok-pokok hijau dan landskap yang menarik.

Menurutnya, Melaka boleh disifatkan sebagai salah satu bandar raya dunia yang wajar dicontohi dari aspek penjagaan alam sekitarnya.

"Saya pernah ke Melaka dua tahun lalu sempena ulang tahun pengisytiharan ke-7 Bandaraya Melaka Bersejarah dan amat teruja melihat landskap dan tumbuhan hijau yang ditanam.

"Justeru itu, kami berminat untuk meningkatkan kerjasama dan berkongsi maklumat bagi mewujudkan bandar raya hijau di Kwangju," katanya ketika mengadakan pertemuan dan dialog dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di pejabat beliau di Kwangju, Korea semalam.

Kenyataan beliau berhubung perkara tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar Ketua Menteri di sini hari ini.

Mohd. Ali hadir bagi menyampaikan ucaptama sempena Simposium Pertubuhan 'Urban Environmental Accord Members Alliance' (UEAMA) yang turut dihadiri oleh Bandar Raya San Francisco dan Bandar Raya Iloilo, Filipina.

Selepas pertemuan itu, satu perjanjian persefahaman (MOU) turut ditandatangani antara Bandaraya Kwangju dan MBMB.

Kwangju diwakili oleh Tae Kang manakala MBMB oleh Datuk Bandar, Zainal Abu.

Melalui perjanjian itu, MBMB kini diterima sebagai ahli UEAMA yang mempunyai 143 keahlian melibatkan 52 buah negara.

Di samping itu, kedua-dua belah pihak boleh bertukar pegawai dan maklumat ke arah mewujudkan bandar raya hijau.

Mengulas mengenai perjanjian itu, Zainal berkata, ia adalah pengalaman yang cukup bermakna kepada MBMB apatah lagi apabila diterima sebagai ahli UEAMA.

"Banyak perkara baru yang boleh kita pelajari daripada negara yang menyertai pertubuhan ini terutama pengalaman mereka untuk membangunkan bandar raya masing-masing ke arah teknologi hijau.

"Sudah tentu usaha ini akan mendapat pengiktirafan antarabangsa selari dengan status Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia," katanya.

Kemaskini Terakhir: Sabtu, 16 November 2019 - 1:02am