MENU

BUKIT BARU 19 Feb - Berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam negara secara mendadak, MBMB cakna dengan keperluan asas untuk ‘frontliners’ terutamanya petugas perubatan yang difahamkan mula tidak mencukupi. Difahamkan petugas perubatan di Hospital Besar Melaka sahaja memerlukan sehingga 400 helai ‘PPE’ setiap hari.

Oleh itu, petang ini YBhg. Datuk Zainal bin Hj. Abu, Datuk Bandar MBMB telah membuat penyerahan sebanyak 3,000 unit kelengkapan ‘PPE’ (Isolation Gown) untuk digunakan oleh barisan petugas perubatan di Hospital Besar Melaka serta petugas di Penjara Sungai Udang, Melaka. Penyerahan kelengkapan ‘PPE’ ini telah diterima oleh Pengarah Hospital Negeri Melaka, YBrs. Dr. Zaharimah bte Abd Kadir dan Pengarah Penjara Malaysia Negeri Melaka, TKP Ku Nawawi bin Ku Hamid.

Program CSR yang dilaksanakan MBMB ini adalah sebagai tanda solidariti, sokongan serta menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan barisan ‘frontliners’ dalam usaha mendepani pandemik COVID-19 pada ketika ini.
Pengorbanan barisan hadapan terutamanya di hospital yang terpaksa menggunakan lapisan demi lapisan alat pelindung diri untuk merawat pesakit, jelas menunjukkan lebih banyak pesakit yang perlu di rawat, lebih banyak keperluan penting yang diperlukan berkurangan ekoran jumlah mangsa wabak ini sentiasa meningkat hari demi hari begitu juga senario di Penjara Sungai Udang Melaka yang pada ketika ini masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

YBhg. Datuk Zainal juga mengalu-alukan rakan strategik MBMB, pihak korporat mahupun persendirian di Melaka untuk bersama-sama menghulurkan bantuan membantu Hospital Besar Melaka terutamanya sebagai satu usaha membantu barisan ‘frontliners’ ini mengekang penularan wabak COVID-19. Bersama-samalah kita berusaha ke arah memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 3 March 2021 - 8:19pm