MENU

 

AYER KEROH 31 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil langkah agresif memasang sebanyak 7,000 Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan Ogos depan.

Datuk Bandar, Mansor Sudin berkata, setakat ini sebanyak 1,000 Jalur Gemilang sudah dipasang dan dikibarkan di kawasan pentadbiran MBMB.

“Antara kawasan tersebut ialah Jalan Peringgit ke Banda Hilir (300 bendera), sepanjang Jalan Hang Tuah (200 bendera), Jalan Munshi Abdullah (100 bendera).

“Selain Jalan Tun Mutahir (100 bendera), Bangunan Graha Makmur (100 bendera) dan selebihnya di kawasan pinggiran bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Bilik Gerakan MBMB, hari ini.

Jelasnya, MBMB juga akan memasang Jalur Gemilang di setiap kawasan tumpuan utama pelancong ke negeri ini.

“Bagi memastikan seluruh warga bandaraya sertai kempen ini, MBMB bersama jabatan terlibat telah mengeluarkan lebih 2,000 notis pemberitahuan.

“Notis ini diberitkan kepada semua pemilik bangunan perniagaan, hotel, dewan-dewan perniagaan, pemaju, balai raya serta wakil di peringkat komuniti,” katanya.

Katanya, rakyat di negeri ini perlu mengibarkan Jalur Gemilang mulai 1 Ogos hingga 16 September (Hari Malaysia) nanti.

Untuk makluman Melaka telah dipilih sebagai tuan rumah Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Nasional 2019 pada 3 Ogos depan.

Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. - Sumber Melaka Kini

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 23 Ogos 2019 - 9:35am