MENU

AYER KEROH 25 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berhasrat untuk mendesakan bandar dengan memastikan persekitaran Bandaraya Melaka sentiasa hijau dan bersih sejajar dengan slogan kerajaan negeri Pintar, Hijau, Bersih.

Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin berkata, untuk merealisasikan hasrat tersebut MBMB akan menambahbaik perkara- perkara yang melibatkan status Bandaraya Bersejarah itu sendiri, selain mengekalkan apa yang sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Kita berhasrat untuk mendesakan bandar dengan memastikan persekitaran sentiasa hijau dan bersih, selain berusaha untuk merendahkan karbon di sekitar Bandaraya Melaka.

“Apa yang penting, kawasan- kawasan konservasi dan kawasan yang terlibat dengan Tapak Warisan Dunia akan terus dipelihara dan dijaga agar pengiktirafan dari UNESCO dapat dikekalkan sepanjang masa,” katanya.

Mansor berkata demikian kepada MelakaKini ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, hari ini.

Mengiringi Mansor pada kunjungan hormat tersebut, Setiausaha MBMB, Azahar Mohamed dan Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Antarabangsa MBMB, Siti Fariza Salim.

Antara lain, kunjungan hormat tersebut diadakan untuk memaklumkan kepada Mohd Khalil akan perkembangan dan status semasa berkaitan pembangunan yang dilaksanakan di dalam kawasan pentadbiran MBMB.

Pada masa yang sama, pembangunan Sungai Melaka Fasa-2 yang akan dibuka pada Ogos nanti turut melibatkan MBMB dalam menyelenggara sungai terbabit, selain menaiktaraf mutu perkhidmatan sekitar kawasan pentadbiran MBMB. - Sumber Melaka Kini

 

Kemaskini Terakhir: Selasa, 18 Jun 2019 - 10:08am