MENU
Image resize threshold of 10 remote images has been reached. Please use fewer remote images.

 

KOTA LAKSAMANA 10 Dis – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan membelanjakan kira-kira RM7 juta bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan-kawasan ‘hotspot’ di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan itu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin berkata, RM7 juta itu merupakan peruntukan yang disediakan khas bagi projek yang sedang berjalan pada penghujung tahun ini dan juga projek-projek baharu pada tahun 2020.

“RM7 juta ini akan digunakan secara berterusan daripada hujung tahun 2019 dan dibawa ke 2020. Maksudnya, ada projek-projek yang dibuat tahun ini dan dibuat sambungan pada tahun hadapan.

“Seperti di bawah DUN Kota Laksamana, antara kawasan kita telah kenal pasti sebagai hotspot banjir ialah seperti di Jalan Ong Kim Wee, Gajah Behrang dan Stadium Hang Tuah yang mana kita kini dalam peringkat design review dan kita jangka akan tenderkan projek itu pada tahun hadapan,” katanya ketika melawat kerja-kerja membaik pulih jalan dan parit di Persimpangan Kota Syahbandar, di sini, semalam.

Tambah Mansor, selain di Kota Laksamana, pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa kawasan lain di bawah kelolaan MBMB yang berisiko mengalami banjir kilat dan akan menjalankan kerja-kerja membaiki sistem perparitan di kawasan berkenaan pada tahun hadapan

“Harap dengan siapnya projek-projek yang sedang dan akan berjalan ini, masalah banjir kilat dapat kita atasi dan memberi keselesaan kepada semua penduduk yang sering terjejas selama ini,” katanya. - Sumber Melaka Kini.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 16 Januari 2020 - 10:24am