| Premis Roboh / Premis Kosong |
APAKAH YANG PERLU ANDA LAKUKAN SEKIRANYA PREMIS ANDA ROBOH?
Sekiranya anda memiliki premis yang telah roboh atau tidak layak diduduki lagi, anda dikehendaki memberitahu atau melaporkan kepada MBMB secara bertulis dengan segera, lengkap dengan alamat penuh premis berkenaan dan tarikh ianya roboh untuk mendapatkan pembatalan bil Cukai Taksiran Harta.
Pindaan Nilaian akan dibuat kepada tanah kosong untuk dikenakan Cukai Taksiran Harta. Laporkan dengan segera jika premis anda telah roboh atau tidak layak diduduki lagi.
ADAKAH ANDA LAYAK DIKECUALIKAN DARI CUKAI TAKSIRAN HARTA?
Ya, sekiranya anda disahkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atas sebab-sebab tertentu. Laporan pengesahan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat hendaklah dilampirkan bersama surat permohonan pemilik premis untuk pengecualian Cukai Taksiran Harta.
Mengikut Seksyen 134 Akta Kerajaan Tempatan 1976, pengecualian Cukai juga boleh diberi oleh Pihak Kuasa Negeri kepada premis-premis seperti berikut:-
Rumah Ibadat.
Sekolah-sekolah Awam.
Tanah Perkuburan atau krematorium awam yang berlesen.
Tempat awam yang digunakan untuk tujuan khairat atau bagi maksud sains, sastera atau seni halus.
Kesemua aktiviti di atas mestilah bukan untuk mendapatkan keuntungan wang.
APAKAH YANG PERLU ANDA LAKUKAN SEKIRANYA PREMIS ANDA TIADA BERPENGHUNI?
Apabila premis anda kosong atau tidak diduduki, anda bertanggungjawab untuk memberitahu secara bertulis kepada MBMB di dalam tempoh 7 hari dari tarikh kosong. Mengikut Seksyen 162(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976, syarat-syarat yang ditetapkan untuk kelulusan permohonan kosong ialah:-
Premis disahkan kosong atau tidak diduduki.
Premis berada di dalam keadaan yang baik dan layak untuk diduduki.
Segala usaha untuk menyewakan premis tersebut (seperti diiklankan) telah dibuat.
Sewa yang diminta adalah sewa yang munasabah.
Bangunan itu kosong selama tempoh yang baginya kredit balik itu dituntut.
Jika permohonan memenuhi syarat, pemohon akan menerima surat jawapan bersama dengan Borang Tuntutan Kredit Balik (Borang PEN10). Mengikut Seksyen 162 Akta Kerajaan Tempatan 1976, mana-mana bangunan yang kosong atau tidak diduduki dalam tempoh tidak kurang dari 1 bulan dalam setengah tahun kalendar dimana bayaran cukai premis berkenaan telahpun dijelaskan, pemiliknya berhak membuat tuntutan kredit balik.
PASTIKAN BORANG ASAL TUNTUTAN KREDIT BALIK (BORANG PEN10) DIKEMBALIKAN KEPADA MBMB...
SEBELUM 31 JANUARI TAHUN BERIKUTNYA SEKIRANYA PREMIS BERKENAAN TIDAK DIDUDUKI ATAU KOSONG SEHINGGA AKHIR TAHUN TERSEBUT.
ATAU
PADA TARIKH PREMIS TERSEBUT DIDUDUKI SEKIRANYA PREMIS BERKENAAN DIDUDUKI SEMULA SEBELUM AKHIR TAHUN.