MENU

 

BANDA HILIR 4 Dis. – Masjid Ar Rahmah Taman Bukit Rambai diumumkan sebagai johan Pertandingan Tandas Bersih Peringkat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi kategori Tandas Rumah Ibadat.

AEON Bandaraya Melaka pula muncul pemenang bagi kategori Tandas Pusat Beli-belah manakala Petron Stadium Hang Jebat menjuarai kategori Tandas Pengusaha Stesen Minyak.

Sebanyak 16 stesen minyak, lima pusat beli-belah dan lapan rumah ibadat menyertai pertandingan anjuran MBMB yang telah diadakan pada 11 November lalu.

Kesemua pemenang menerima hadiah masing-masing daripada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Melaka, Datuk Tey Kok Kiew di majlis perasmian Kempen Tandas Untuk Semua #IniRumahKita 2019 di Mahkota Parade di sini semalam.

Turut hadir Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Kok Kiew berkata penjurian yang telah dilaksanakan oleh empat badan luar dan turut dihadiri ahli-ahli majlis MBMB mendapati hanya 55 peratus daripada 29 premis yang menyertai pertandingan tersebut mencapai tahap tiga bintang ke atas.

“Saya amat berharap selepas ini lebih banyak premis yang cakna akan kepentingan penjagaan kebersihan tandas.

“Dan disasarkan menjelang tahun hadapan kita akan dapat mencapai 80 peratus kemudahan awam ini mendapat tiga bintang ke atas,” katanya.

Sementara itu Mansor dalam ucapan aluannya berkata MBMB telah menyediakan dan menyelenggara lebih 72 fasiliti tandas awam di kawasan pentadbirannya.

Namun beliau menegaskan bahawa masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama untuk peka dan menjaga kebersihan tandas awam yang telah disediakan.

“Semoga pendekatan, kawalan dan usaha yang dilakukan oleh MBMB mampu mengubah persepsi masyarakat serta warga Bandaraya Melaka Bersejarah mengenai kepentingan penjagaan tandas awam secara bersama,” katanya. - Sumber Melaka Kini.

Last Updated: Tuesday, 18 February 2020 - 10:20am