MENU

BANDARAYA MELAKA 23 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memperkasakan intipan di lokasi pembuangan sampah haram bagi mengekang kegiatan itu dari terus berleluasa.

Datuk Bandar, Mansor Sudin berkata, MBMB tidak akan berkompromi dengan mana- mana individu yang melakukan aktiviti tersebut sebagai antara usaha kempen Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019).

Katanya, intipan di beberapa lokasi di pinggir bandar akan disertai beberapa penguatkuasa agensi dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) diikuti ahli majlis kawasan.

“Kita terpaksa melakukannya secara agresif memandangkan isu pembuangan sampah haram dilakukan secara berleluasa, walaupun papan tanda larangan sudah diletakkan.

“MBMB akan melaksanakan intipan berdasarkan aduan diterima dan jika didapati bersalah, kompaun akan dikenakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Peserta Melaka City Fun Ride, Run and Walk 2019 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-16 MBMB di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, MBMB telah mengeluarkan dua kompaun berhubung intipan yang dilakukan di Bukit Katil dan Ayer Molek.

“Kompuan RM250 dikenakan ke atas pesalah kerana didapati membuang sampah secara haram di dua kawasan berkenaan pada jam tiga pagi.

“Ada yang melakukan kegiatan itu menerusi kenderaan lori dan terlibat secara berkumpulan, tindakan perlu diambil bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya.

Mereka didapati bersalah di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). - Sumber Melaka Kini

 

 

 

Last Updated: Sunday, 22 September 2019 - 12:17am